1 post tagged “ulama”
Terlebih dahulu, salam takziah di rakamkan atas pemergian Dato' Ishak Baharom ke rahmatullah. Seorang pejuang tulen, ulama yang tegas dan tentunya seorang rakyat yang bencikan hipokrasi, rasuah dan segala maksiat dalam era pemerintahan kini. Beliau rela dipecat dari jawatan demi kerana mempertahankan akidah perjuangan. Setelah menyertai pembangkang, namanya kian dilupakan.
Soalnya siapa yang peduli tentang beliau? Laporan kehilangannya hanyalah di sudut kecil dada akhbar seumpama satu laporan biasa mengenai kematian seseorang. Sebagaimana kita maklum, pada tarikh yang sama juga, seorang penulis lirik, artis, pelakon terkenal juga kembali ke rahmatullah.
Bagaikan dijangka, semua media massa membuat pengumuman rasmi disertai tangisan setiap warga seni serta peminat berkenaan kehilangan permata dalam bidang seni yang kononnya sukar dicari ganti. Sedangkan, siapa peduli walaupun seorang bekas mufti meninggal dunia? Siapalah mufti atau ulamak di mata masyarakat kita?
Lupakah kita pada satu hadis yang menyatakan apabila matinya seorang ulama, maka pergilah ilmu itu dan kepandaian yang dipelajarinya bersama jasadnya. Golongan yang tinggal ini, jika tidak menguasai ilmunya kini hilang tempat rujukan, maka jalan ke arah kejahilan mula tampak. Apabila tiada tempat rujukan maka kejahilan mula berleluasa. Hukum-hakam ditafsir secara membuta tuli dan sebagainya. Itulah antara cara bagaimana Allah mengangkat ilmu, iaitu dengan cara mematikan para ulamak.
Tidakkah ini satu tanda jelas pengakhiran dunia? Siapa sedar akan hakikat ini? Atas dasar itulah tiada yang menangisi pemergian ulamak sedangkan berapa ramai yang kelam-kabut dengan pemergian seorang insan seni? Tanyalah anak-anak kita hari ini dan kita akan dapati hampir semuanya arif tentang artis, bila tarikh lahirnya, siapa pasangannya, apa saja biodata artis pastinya mereka tahu. Tapi, berapa ramai anak-anak kita tahu tentang ulamak? Kitab apa dan ilmu apa yang didalami ulamak tersebut?
Ketahuilah semua, bahawa antara tanda kiamat itu adalah apabila masyarakat mula memuja-muja artis.